10 Dis 2008

NAK KELUAR...KELUARLAH...

. 10 Dis 2008
0 comments

Isu-isu sensitif yang dibangkitkan beberapa pemimpin komponen Barisan Nasional (BN) turut jadi tumpuan mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) yang bersidang lebih tiga jam petang Selasa.


Isu Ketuanan Melayu yang disentuh oleh Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek telah mengundang reaksi yang agak keras dariapda kalangan pemipin UMNO termasuk dibahaskan secara terbuka di Dewan Rakyat oleh beberapa Ahli Parlimen BN sendiri seperti Ahli Parlimen Seri Gading, Datuk Mohamad Haji Aziz, Ahli Parlimen Arau, Datuk Ismail Kassim dan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Rahman.

Walaupun Chua menyalahkan ucapannya telah disalahtafsir tetapi isu berkenaan menjadi perdebatan hangat di media. Malah, sudah timbul satua andaian betapa hak orang Melayu dan kedudukan Bumiputera semakin dipersoalkan.

Selain itu, mesyuarat Dewan Tertinggi BN juga menarik untuk diikuti kerana ada tuntutan kalangan pemimpin UMNO agar BN mengambil tindakan tegas terhadap Ketua Wanita Gerakan, Datuk Tan Lai Hoe ekoran kenyataannya yang dikatakan menyifatkan orang Melayu juga pendatang.

Suara juga diluahkan agar Soi Lek turut dikenakan tindakan kerana UMNO setelah mendapat desakan parti-parti komponen telah mengambil tindakan tegas kepada Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail kerana mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman.

Dengan itu, para pemimpin UMNO khususnya di kalangan Ketua UMNO Bahagian merasakan BN perlu berlaku adil dalam mengambil tindakan dan parti-parti komponen perlu ikhlas dalam membuat desakan.

Presiden Gerakan, Tan Sri Koh Tsu Koon semasa isu Ahmad Ismail timbul telah mencadangkan BN mempunyai kod etika bagi membolehkan tindakan tegas kepada mana-mana ahli parti komponen yang membuat kenyataan sensitif khususnya dalam isu perkauman dikenakan tindakan tegas.

Namun apabila ia mebabitkan Ketua Wanita Gerakan sendiri, parti itu mengambil sikap mendiamkan diri sahaja dan memberikan alasan paling popular akhbar salah tafsir dan salah lapor.

Ini termasuk ancaman Parti Progresif Rakyat (PPP) untuk keluar BN sekiranya kerajaan tidak meminda atau memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

“Terpulang kepada mereka (PPP)…jika itu keputusan mereka, apa kita boleh buat,” kata Pengerusi BN, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sambil menegaskan kerajaan tidak akan meminda akta berkenaan.

Sebelum ini Presiden PPP, Datuk M.Kayveas dilaporkan berkata, parti pimpinannya menimbangkan untuk keluar BN sekiranya kerajaan tidak meminda atau menghapuskan ISA menjelang pilihan raya umum akan datang.

Bagaimanapun, beliau tidak hadir mesyuarat berkenaan dan hanya menghantar wakil. Selain itu, isu sensitif lain termasuk soal ketuanan Melayu yang pernah dibangkitkan pemimpin MCA dan Gerakan turut dibincangkan.

Menurut Abdullah, sebagai parti besar, BN mengamalkan siakp terbuka dan membincangkan apa juga isu dibangkitkan. “Sebagai kerajaan yang berkongsi kuasa, kita ada tanggungjawab bersama,” katanya tanpa mengulas lanjut isu-isu sensitif lain yang dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan.

sumber AgendaDaily

p/s : Ugut-ugut tak main la...

Read More »»

9 Dis 2008

SEMUA KAUM PATUT TERIMA SEKOLAH WAWASAN

. 9 Dis 2008
0 comments

Gagasan Sekolah Wawasan adalah gagasan yang besar, melangkaui kepentingan kaum dan etnik, juga melangkaui batas politik dan sosial. Bagaimanapun kegagalannya sudah mula dirasai sejak diperkenalkan lebih lima belas tahun lalu.


Bukan kerana kelemahan pengurusan pihak kementerian tetapi kerana sikap kalangan pimpinan politik yang tidak ikhlas untuk memahami keluhurannya lantas membina prasangka yang bukan-bukan serta kebimbangan yang melampaui hasrat murni kewujudannya.

Mungkin kita patut memberikannya peluang kedua, kali ini dengan lebih bersungguh-sungguh dan bersikap terbuka kepada semua pihak yang terlibat.

Sekolah Wawasan adalah sekolah integrasi yang menempatkan beberapa buah sekolah yang berlainan aliran dalam satu kawasan yang sama. Sekolah-sekolah ini akan berada di bawah satu 'bumbung' tanpa mengira agama dan bangsa. Konsep Sekolah Wawasan adalah bertujuan menyatukan para pelajar daripada etnik Melayu, Cina dan India melalui satu sistem pendidikan di dalam satu kawasan.

Konsep Sekolah Wawasan bermakna dua atau tiga buah sekolah yang berlainan aliran dan jenis sekolah dibina dalam kawasan yang sama dan akan berkongsi segala kemudahan asas yang disediakan seperti padang permainan, dewan, kantin, pusat sumber, makmal komputer dan sebagainya.

Setiap sekolah akan mempunyai bangunan sendiri yang boleh disambung antara satu sama lain dengan menggunakan sistem laluan berbumbung.

Pembentukan Sekolah Wawasan ini tidak sesekali bertujuan mengubah pentadbiran dan sistem pembelajaran yang asal bagi setiap sekolah. Sekolah Wawasan mempunyai pentadbiran secara berasingan (mempunyai autoriti untuk menguruskan peruntukan kewangan, perancangan sumber manusia dan pembangunan dan lain-lain) bagi setiap aliran.

Setiap sekolah akan mempunyai nama dan logo sekolah, lagu sekolah dan sistem peperiksaan peringkat sekolah masing-masing.

Warga Sekolah Wawasan digalakkan menggunakan sebahagian kemudahan sekolah secara bersama seperti kantin, dataran perhimpunan, gelanggang permainan dan padang sekolah.
Bagi Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina), Lembaga Pengelola Sekolah yang sedia ada akan terus kekal seperti yang diperuntukkan dalam Akta Pendidikan 1996.

Walaupun menggabungkan tiga aliran sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), Sekolah Wawasan tetap mempunyai pusat pentadbiran mengikut aliran masing-masing.

Terdapat tiga orang guru besar berbeza dengan kumpulan guru dan juga kakitangan pentadbir yang berasingan. Sekolah Wawasan juga tetap menghormati bahasa dan kebudayaan etnik dan budaya sekolah masing-masing. Pelaksanaan Sekolah Wawasan adalah selari dengan usaha mengekalkan identiti asal etnik di sekolah berkenaan.

Satu Jawatankuasa Penyelaras yang terdiri daripada Guru Besar dan dua orang guru dari setiap sekolah diwujudkan untuk menyelaras hal-hal pengurusan mengenai kebersihan, keceriaan dan keselamatan sekolah. Jawatankuasa ini akan dipengerusikan oleh salah seorang daripada Guru Besar dari Sekolah Wawasan berkenaan secara bergilir-gilir mengikut kesesuaian sama ada satu atau dua tahun sekali.

Jawatankuasa Penyelaras tidak akan menggantikan fungsi Lembaga Pengelola SJK (Cina) dan SJK (Tamil). Kantin sekolah pula akan dikendalikan bersama-sama oleh sekolah-sekolah berkenaan. Dalam urusan makanan, sensitiviti semua kumpulan etnik akan diambil kira dan bayaran sewa akan diagihkan kepada sekolah-sekolah berdasarkan nisbah murid.

Bagi aktiviti kokurikulum, meskipun setiap sekolah mempunyai aktiviti kokurikulum masing-masing, tetapi setiap sekolah digalakkan menjalankan aktiviti kokurikulum tambahan bersama. Ketika aktiviti ini, setiap warga sekolah boleh menggunakan bahasa pengantar masing-masing.
Malah ada ketikanya aktiviti pelajar boleh dilakukan bersama dengan setiap sekolah menghantar wakil terbaik bagi sesuatu aktiviti seperti pertandingan pidato, pertandingan bola sepak, bola keranjang dan sebagainya.

Di samping itu, sekolah berkenaan boleh menghantar wakil sebagai satu pasukan Sekolah Wawasan dalam aktiviti kurikulum dan kokurikulum yang melibatkan pasukan yang mempunyai ramai penyertaan di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan.

Bagi menggalakkan lagi perpaduan antara pelajar, Sekolah Wawasan diseru untuk mengadakan acara tahunan secara bersama seperti temasya sukan tahunan, Hari Guru, Hari Kebangsaan dan Hari Kantin.

Antara Sekolah Wawasan yang telah beroperasi dengan jayanya ialah Kompleks Sekolah Wawasan Pekan Baru, Parit Buntar, Perak, Kompleks Sekolah Wawasan Taman Aman, Alor Star, Kedah, Kompleks Sekolah Wawasan Tasik Permai, Pulau Pinang, Kompleks Sekolah Wawasan USJ 15, Subang Jaya, Selangor dan Kompleks Sekolah Wawasan Pundut, Seri Manjung, Perak.

Bagaimanapun, seperti yang diketahui umum, konsep Sekolah Wawasan ini ditolak keras oleh dua gabungan persatuan Cina, Dong Jiao Zhong dan Hua Zong. Bahkan dalam satu wawancara dengan sebuah akhbar tempatan bersama pemimpin persatuan ini, dilaporkan bahawa jika konsep Sekolah Wawasan dipaksakan ke atas masyarakat Cina, mereka akan membuat penentuan dalam pilihan raya ketika itu.

Isu Sekolah Wawasan dikatakan menjadi salah satu faktor penyebab kekalahan calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Lunas satu masa dahulu. Bantahan ini juga mendapat sokongan padu daripada parti komponen Barisan Nasional (BN) iaitu MCA, MIC dan Gerakan.
Dong Zong ialah sebuah persatuan pendidikan Cina yang besar dan sangat berpengaruh. Jiao Zong pula ialah persatuan guru-guru, juga ditubuhkan di setiap sekolah dan didaftarkan mengikut peraturan persatuan NGO.

Kedua-dua persatuan inilah yang bertanggungjawab sebagai badan yang mengurus dan mentadbir sekolah Cina, mengutip derma, membiayai segala kemudahan dan berbincang dengan kerajaan dalam isu membabitkan pendidikan Cina.

Kedua-duanya sentiasa bekerjasama. Jadi, dalam apa-apa isu pendidikan khususnya berkaitan pendidikan Cina maka persatuan ini biasanya akan bekerja dengan satu suara.

Sejak ditubuhkan, Dong Jiao Zong dianggap 'jaguh' dalam memperjuangkan hak dan kepentingan pendidikan Cina di Malaysia. Hari ini badan induk ini bertanggungjawab menyalur dana untuk membiayai 1,284 Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) dan 60 sekolah menengah persendirian Cina, di seluruh negara.

Fungsi

Bagi setiap sekolah rendah dan menengah Cina, mereka mempunyai lembaga pengarah dan pengelola masing-masing yang ditubuhkan mengikut Akta Pendidikan Kebangsaan 1996. Tetapi lembaga Pengelola Sekolah ini hanya di sekolah Cina saja, tidak ada di sekolah Tamil atau Melayu.

Jadi, dengan adanya Sekolah Wawasan maka dikhuatiri fungsi Lembaga Pengelola Sekolah Cina akan hilang. Mungkin ia boleh terus wujud, tetapi diyakini tidak boleh berbuat apa-apa kerana perpindahan kuasa telah berlaku. Inilah yang dirisaukan oleh Persatuan Dong Jiao Zong kerana tiada jaminan atau penjelasan daripada pihak kerajaan.

Selain tentangan NGO pendidikan Cina, ada juga di kalangan tokoh akademik tempatan yang berpendapat bahawa konsep Sekolah Wawasan yang dicadangkan sebenarnya bukan jawapan kepada keharmonian dan perpaduan kaum. Mereka hanya berkongsi padang dan kemudahan dalam satu kawasan sekolah, sedangkan sistem pendidikannya masih kekal mengikut aliran masing-masing.

Perpaduan kaum tidak mampu dicapai hanya di padang sekolah. Menurut mereka tidak munasabah jika hanya dengan bermain bola sepak atau hoki di padang, perpaduan dapat dicapai. Di samping itu apabila Sekolah Wawasan ditubuhkan pihak kerajaan terpaksa mengambil peranan untuk menjaga sekolah persendirian aliran Cina dan Tamil pula - sama rata dengan sekolah aliran kebangsaan. Jika tidak dilayan, maka akan timbul prasangka terhadap satu sama lain.

Satu lagi punca kegagalan Sekolah Wawasan ialah ketika ini dikatakan sekolah Cina menghadapi kekurangan guru. Kerajaan pula tidak ada rancangan untuk melatih guru Cina khusus untuk sekolah Cina dan India dengan mencukupi.

Tetapi, sekolah Melayu dikatakan mempunyai lebihan guru lepasan maktab dan universiti sehingga sukar ditempatkan di sekolah kebangsaan.

Jika Sekolah Wawasan dilaksanakan, guru Melayu yang berlebihan itu pastinya diserapkan di sekolah Cina. Ini juga menimbulkan keresahan di kalangan pimpinan masyarakat Cina yang memerlukan tambahan guru Cina di sekolah jenis kebangsaan di seluruh negara.

Jadi, secara perlahan-lahan masyarakat Cina percaya Sekolah Wawasan akan mengubah sistem sekolah Cina sekarang. Jika inilah antara punca kegagalan melaksanakan Sekolah Wawasan, jelas sekali isu hubungan etnik dalam segmen pendidikan negara adalah sangat serius dan dipenuhi dengan rasa curiga dan prasangka hinggakan idea sebaik Sekolah Wawasan pun mengalami kegagalan.

Pihak kementerian sepatutnya kembali menjayakan Sekolah Wawasan demi kelangsungan perpaduan kaum dan mewujudkan sebuah bangsa Malaysia. Kegagalan sekolah Wawasan adalah kegagalan kita semua.

Jika kita mengalah dan menarik diri maka kita akan dipersalahkan oleh generasi muda yang ingin hidup sebagai satu bangsa pada masa depan tanpa mengira kaum, agama dan budaya.

sumber Utusan Online

p/s : asas perpaduan adalah pendidikan...

Read More »»

MIC MINTA PERCEPATKAN SEKOLAH WAWASAN

.
0 comments

MIC meminta kerajaan mempercepatkan pelaksanaan program Sekolah Wawasan di negara ini memandangkan hanya lima atau enam buah sekolah seumpama itu dibina sejak idea pelaksanaannya dipersetujui hampir 10 tahun lepas.

Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu berkata, parti itu sukar memahami kelewatan pelaksanaan projek tersebut walaupun mereka menyokong konsep itu sejak ia diilhamkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hampir 10 tahun lalu.

“Sejak projek itu dilaksanakan 10 tahun lepas, sehingga kini hanya lima atau enam buah Sekolah Wawasan dibina,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan forum Program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeri (PPSMI) di sekolah Tamil di sini.

Forum sehari itu dihadiri oleh pengetua sekolah Tamil dan pegawai Kementerian Pelajaran.

Konsep Sekolah Wawasan bermaksud dua atau tiga buah sekolah rendah yang berlainan aliran dan pentadbiran dibina dalam kawasan yang sama dan berkongsi kemudahan asas seperti padang permainan, dewan, pusat sumber, bilik komputer dan kantin.

Matlamat sekolah itu adalah bagi memupuk semangat integrasi antara pelajar dari pelbagai aliran dengan mengekalkan status sekolah masing-masing.
Samy Vellu berkata, walaupun ada pihak memberi reaksi negatif terhadap Sekolah Wawasan namum MIC berpendapat projek itu adalah baik dan bermanfaat kerana sekolah Tamil akan disediakan dengan bangunan baru dan dilengkapi dengan peralatan hasil pembiayaan penuh oleh kerajaan.

Ketika ini, 329 daripada 523 buah sekolah Tamil di negara ini menerima separuh bantuan dan memerlukan pembiayaan kerajaan secara tahunan.
Katanya, konsep Sekolah Wawasan akan memastikan sekolah Tamil dengan jumlah hampir 110,000 pelajar terus wujud.
Samy Vellu juga berkata, sebuah forum khas dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) akan diadakan di sini pada 14 Disember ini bagi mendapatkan maklum balas mengenai PPSMI.
Katanya, ibu bapa akan diminta menyatakan pandangan masing-masing sama ada mengekalkan program PPSMI atau sebaliknya sebelum mengemukakan keputusan kepada kerajaan.

– Bernama
p/s : eloklah tu...

Read More »»

7 Dis 2008

MESYUARAT PERTAMA GAGASAN PEMUDA EHSAN

. 7 Dis 2008
0 comments



Gambar atas :-
Alhamdulillah, mesyuarat ini mendapat sambutan yang baik daripada ketua-ketua Pemuda Cawangan. Semoga usaha ini akan berterusan demi menjayakan apa yang direncanakan.

Gambar bawah :-
Jawatankuasa
sedang melihat blog yang telah di kemaskini.

Read More »»