18 Mac 2009

SATU KEJUTAN

. 18 Mac 2009
1 comments

Memang satu kejutan. Desas desus yang bertiup perlahan merebak ke akar umbi ternyata benar. Kisah beliau yang menghiasai muka hadapan Utusan Malaysia semalam (17hb Mac 09), sudah cukup untuk membayangkan bahawa Datuk Seri Ali Rustam, adalah antara pemimpin UMNO peringkat tertinggi yang akan di dapati bersalah kerana politik wang.


Ini adalah satu keputusan oleh Lembaga Disiplin UMNO. Ada juga beberapa individu tertentu yang mengatakan, bahawa ini adalah satu set up kerana kepentingan politik golongan tertentu, namun saya tidak yakin begitu.

Keputusan dan siasatan yang dibuat, adalah berdasarkan laporan yang diterima. Saya yakin, laporan tersebut datang dari pelbagai peringkat, termasuklah di peringkat akar umbi.

Namun, biar apa pun yang berlaku, harapnya, Datuk Seri Ali Rustam dapat menerimanya dengan redha. Orang yang berjuang demi agama, bangsa dan negaranya, tidak akan kecewa.

Ambillah contoh panglima perang Islam, Saidina Khalid Al Walid r.a. yang sanggup turun untuk berjihad menentang musuh, biarpun pangkatnya sebagai panglima perang, telah dilucutkan oleh Saidina Umar al Khattab r.a. tidak lama selepas beliau mengambil tampuk pemerintahan daripada Saidina Abu Bakar r.a.

Keikhlasan Saidina Khalid al Walid r.a. dalam perjuangan, patut diambil sebagai satu iktibar dan pegangan bagi orang-orang yang mengaku dirinya sebagai seorang pejuang.

Begitu juga dengan sebuah riwayat, sewaktu krisis antara Saidina Ali r.a. dan Saidina Muawiyah r.a. sehingga terjadinya perang Siffin. Ketika sedang berkonfrontasi, tiba-tiba datang utusan daripada raja Rom, (saya tidak ingat namanya) menawarkan bantuan peperangan kepada Saidina Muawiyah r.a. 

Bantuan tersebut untuk membantunya mengalahkan Saidina Ali r.a. Apabila mendengarkan kata-kata utusan Raja Rom itu, muka Saidina Muawiyah merah padam lalu bangun dan berkata kepada utusan Raja Rom itu :

"Sekiranya Raja kamu ingin menyerang Ali, maka engkau akan lihat bahawa akulah orang yang akan berada di barisan paling hadapan untuk mempertahankan Ali!,"

Inilah satu contoh tauladan berkenaan semangat kerukunan dan taat setia dalam persahabatan yang berdasarkan tauhid kepada Allah, biarpun ketika itu, kedua-dua sahabat ini berada dalam kemelut konfrontasi yang menjadi kenangan hitam bagi kaum Muslimin.

Berdasarkan dua contoh itu, maka kita perlu sedar,perbalahan sesama kita, janganlah sampai menjadi pengkhianat kepada agama, bangsa dan negara. Kekecewaan tidak akan wujud dalam diri seseorang pejuang itu, sekiranya seseorang itu menjadikan landasan perjuangannya hanya kerana Allah semata-mata.

Sekiranya benar seperti yang telah diputuskan oleh Lembaga Disiplin itu, bahawa beliau menggunakan wang untuk meraih sokongan dan undi, maka ini adalah satu pengajaran dan iktibar yang sangat besar bagi beliau. Apa yang penting, beliau terus istiqamah dalam perjuangan, dan terus menabur jasa seperti biasa.

Kita tidak boleh menjadikan pangkat, kuasa dan harta sebagai matlamat perjuangan kita di dalam UMNO kerana tiga faktor inilah yang menjadi salah satu sebab perpecahan orang Melayu di negara ini...


-Wan Mohd Hafiz Wan Hamzah-


sumber dipetik dari blog Pemuda UMNO Taman Ehsan
http://taman-pemuda.blogspot.com

Read More »»