9 Dis 2008

MIC MINTA PERCEPATKAN SEKOLAH WAWASAN

. 9 Dis 2008

MIC meminta kerajaan mempercepatkan pelaksanaan program Sekolah Wawasan di negara ini memandangkan hanya lima atau enam buah sekolah seumpama itu dibina sejak idea pelaksanaannya dipersetujui hampir 10 tahun lepas.

Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu berkata, parti itu sukar memahami kelewatan pelaksanaan projek tersebut walaupun mereka menyokong konsep itu sejak ia diilhamkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hampir 10 tahun lalu.

“Sejak projek itu dilaksanakan 10 tahun lepas, sehingga kini hanya lima atau enam buah Sekolah Wawasan dibina,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan forum Program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeri (PPSMI) di sekolah Tamil di sini.

Forum sehari itu dihadiri oleh pengetua sekolah Tamil dan pegawai Kementerian Pelajaran.

Konsep Sekolah Wawasan bermaksud dua atau tiga buah sekolah rendah yang berlainan aliran dan pentadbiran dibina dalam kawasan yang sama dan berkongsi kemudahan asas seperti padang permainan, dewan, pusat sumber, bilik komputer dan kantin.

Matlamat sekolah itu adalah bagi memupuk semangat integrasi antara pelajar dari pelbagai aliran dengan mengekalkan status sekolah masing-masing.
Samy Vellu berkata, walaupun ada pihak memberi reaksi negatif terhadap Sekolah Wawasan namum MIC berpendapat projek itu adalah baik dan bermanfaat kerana sekolah Tamil akan disediakan dengan bangunan baru dan dilengkapi dengan peralatan hasil pembiayaan penuh oleh kerajaan.

Ketika ini, 329 daripada 523 buah sekolah Tamil di negara ini menerima separuh bantuan dan memerlukan pembiayaan kerajaan secara tahunan.
Katanya, konsep Sekolah Wawasan akan memastikan sekolah Tamil dengan jumlah hampir 110,000 pelajar terus wujud.
Samy Vellu juga berkata, sebuah forum khas dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) akan diadakan di sini pada 14 Disember ini bagi mendapatkan maklum balas mengenai PPSMI.
Katanya, ibu bapa akan diminta menyatakan pandangan masing-masing sama ada mengekalkan program PPSMI atau sebaliknya sebelum mengemukakan keputusan kepada kerajaan.

– Bernama
p/s : eloklah tu...

0 comments: