5 Dis 2008

PEWARIS SOKONG CADANGAN MUKHRIZ

. 5 Dis 2008

KUALA LUMPUR 3 Dis. - Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris) menyokong penuh cadangan Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Tun Mahathir supaya diwujudkan hanya satu sistem pendidikan berteraskan sistem pendidikan kebangsaan di setiap sekolah di negara ini.

Timbalan Pengerusinya, Rahimuddin Md. Harun berkata, cadangan itu amat baik untuk dilaksanakan kerana sejak kebelakangan ini terlalu banyak isu yang ditimbulkan sesetengah pihak bertujuan mewujudkan perbalahan kaum di negara ini.

Katanya, pelaksanaan cadangan itu akan memupuk semangat perpaduan kaum di kalangan pelajar.

"Teras pendidikan yang berdasarkan semangat kebangsaan perlu diterapkan semula supaya pelajar dididik untuk menghormati kaum lain dan tidak wujud sebarang provokasi dalam kalangan kaum," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Rahimuddin berkata, pelaksanaan satu sistem pendidikan itu juga penting dan mempunyai rasionalnya dalam mendidik pelajar memahami dasar yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Kami berpendapat tidak wujud unsur mencabuli hak kaum lain jika bahasa Melayu dijadikan bahasa pengantar di sekolah kerana memang sejak negara mencapai kemerdekaan, bahasa Melayu sudah termaktub sebagai bahasa rasmi di dalam Perlembagaan Persekutuan tanpa menafikan hak kaum lain untuk bertutur dalam bahasa asal mereka," katanya.

Pada masa yang sama, tambah beliau, Pewaris akan terus bangkit dan bersuara terhadap perkara yang membabitkan sentimen perkauman.

Menurut beliau, pihaknya akan terus mempertahankan hak istimewa kaum Melayu serta Islam di negara ini.

0 comments: