1 Dis 2008

ZAID PATUT DIPECAT-PEMUDA SUBANG

. 1 Dis 2008

Pemuda UMNO Bahagian Subang mendesak agar pucuk pimpinan UMNO supaya memecat keahlian bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim daripada parti kerana hadir pada Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor semalam.


Ketuanya, Harrison Hassan berkata, setelah apa yang dilakukan Zaid, UMNO tidak perlu berbincang mahupun memberikan beliau pilihan.

‘‘Ini adalah kerana beliau sendiri telah membuktikan tidak setia kepada parti. Ini bukanlah insiden pertama yang mana beliau membelakangkan parti dan menghiris perasaan ahli-ahli UMNO serta orang Melayu.

‘‘Pemuda UMNO Bahagian Subang merasa marah dan kecewa dengan tindakan beliau yang dengan senang bersekongkol bersama parti pembangkang, sedangkan kami di akar umbi telah sekian lama berjuang dalam merapatkan barisan serta memperkukuhkan parti,’’ kata beliau dalam kenyataannya di sini hari ini.

Harrison berkata, Pemuda UMNO Bahagian Subang mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Zaid yang menyertai program dan majlis anjuran parti pembangkang.

‘‘Selain menghadiri majlis perasmian kongres PKR, beliau turut menghadiri majlis kemenangan rakyat Pulau Pinang anjuran parti DAP sebelum ini.

‘‘Kenyataan Zaid dalam Mingguan Malaysia hari ini yang beliau mengakui masih menjadi ahli UMNO dan tidak menolak kemungkinan menyertai parti pembangkang pada masa akan datang, harus ditangani oleh pucuk pimpinan dengan serta-merta,’’ katanya.


Utusan Online

0 comments: