29 Mac 2009

CARIK-CARIK SI BULU AYAM...

. 29 Mac 2009





Alhamdulillah, kami panjatkan setinggi-tinggi rasa kesyukuran kepada Allah swt, Pemerintah Yang Maha Kuasa, Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang.  Akhirnya, perhimpunan Agung UMNO ke 59 ini, menyaksikan satu lagi sejarah, di mana kehadiran Tun Mahathir, bersama isterinya Tun Siti Hasmah yang menyemarakkan lagi semangat perjuangan ahli-ahli UMNO untuk terus bersatu, bersetia dan berkhidmat kepada agama, bangsa dan negara.

Kami, generasi muda  di dalam PEKEMBAR (UMNO) amat-amat  terharu dengan contoh tauladan yang ditunjukkan oleh pemimpin-pemimpin veteran UMNO pada ketika dan saat ini. Kami juga mengucapkan selamat bersara kepada Pak Lah, yang bagi kami seorang pemimpin yang cukup baik, beriman dan mempunyai tahap kesabaran yang tinggi sepanjang beliau memerintah bumi bertuah ini.

Setelah berjuang lebih 30 tahun di dalam UMNO, inilah pengorbanan yang paling besar dilakukan oleh Pak Lah, melepaskan jawatan demi keutuhan semula UMNO, parti terbesar dan parti bersejarah bagi orang-orang Melayu. Setinggi-tinggi terima kasih kami ucapkan pada Pak Lah, dari kami generasi muda di dalam UMNO.

Begitu juga dengan Tun Mahathir. Kehadiran Tun pada perhimpunan Agung UMNO kali ini sudah cukup untuk membuktikan, betapa tingginya semangat perjuangan yang masih segar bugar di dalam dirinya, demi untuk agama, bangsanya dan tanahair, dan mengetepikan segala sentimen peribadi, biarpun kita tahu selama ini beliau seringkali mengkritik kepimpinan Pak Lah.

Kepada ahli pemuda sebagai pelapis pemimpin warisan bangsa, contohilah semangat dan pengorbanan yang diperlihatkan oleh pemimpin-pemimpin lama. Biarpun setiap dari mereka, mempunyai salah dan silap masing-masing, namun janganlah pula kita, menjadikan salah dan silap mereka itu sebagai satu alasan untuk membenarkan kita bersikap kurang ajar, serta tidak menghormati pemimpin lama, sedangkan jasa yang sudah mereka taburkan, amatlah besar berbanding dengan jasa kita untuk agama, bangsa dan negara.

Sememangnya, sudah menjadi fitrah manusia tidak akan lepas dari melakukan kesalahan dan kesilapan. Tidak ada manusia yang tidak pernah melakukan kesilapan, biarpun insan yang diangkat darjatnya menjadi para Nabi dan Rasul.

Kami memanjatkan doa kepada yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang, mudah-mudahan selepas ini, UMNO, terutamanya barisan kepimpinan Pemuda UMNO sebagai pelapis kepimpinan parti, akan terus mantap dalam satu semangat setiakawan serta berani dalam usaha untuk  menuntut perubahan, demi agama, bangsa dan negara, InsyaAllah.

p/s: Gambar dari blog Pejuang Bangsa.

0 comments: