3 Dis 2008

CADANGAN MUKHRIZ PATUT DILAKSANAKAN

. 3 Dis 2008

Sebaik sahaja Dato Mukhriz Mahathir melontarkan cadangan agar sistem pendidikan di negara ini di satukan dalam satu sistem pendidikan kebangsaan, maka hari ini, kita dapat lihat, beberapa pemimpin bukan Melayu, baik dari parti pembangkang, mahupun parti komponen BN mula bersuara, menentang cadangan tersebut.

Seperti yang dikatakan oleh Dato Mukhriz apabila di minta untuk menarik balik cadangan tersebut, jelas kini, bahawa golongan yang seringkali melaung-laungkan cerita tentang perpaduan, tentang hak-hak bersama, kesamarataan, hanyalah sekadar satu laungan retorik untuk kepentingan diri, kaum mereka sahaja dan barangkali ada terselit maksud yang tersirat.

Mungkin boleh ditafsirkan, erti kata sebenarnya, golongan ini sebenarnya mahu orang Melayu, melepaskan kuasa, melepaskan hak-hak istimewa, serta tidak lagi memperjuangkan konsep Ketuanan Melayu di negara ini, kerana dianggap tidak relevan dan sesuai dengan zaman moden ini.

Sebab itu, golongan ini tidak sudah-sudah mempertikaikan segala perkara, termasuklah dari sudut Ketuanan Melayu. Untuk pengetahun golongan ini, Ketuanan Melayu, bukanlah bermaksud Melayu itu tuan dan kaum bukan Melayu itu menjadi hamba, tetapi ketuanan Melayu adalah merujuk kepada Raja dan Sultan yang sejak zaman-berzaman menjadi pemerintah di Tanah Melayu ini.

Ketuanan Melayu juga merujuk kepada pemerintahan Islam. Dan UMNO, sejak dari dulu sehingga ke hari ini, menjadi sebuah pertubuhan yang berjuang dalam usaha mempertahankan Ketuanan Melayu.

Jelas hari ini, apabila Dato Mukhriz memberi cadangan seperti ini, terbuktilah, siapa yang masih mengamalkan sikap rasis? Sebelum ini, ada suara-suara sumbang yang mengatakan bahawa UMNO dan orang Melayu mengamalkan sikap rasis dan perkauman. Jika benar UMNO ini satu parti yang rasis, tidak akan ada kaum bukan Melayu yang boleh membeli bangunan dan menguasai ekonomi di dalam Tanah Melayu ini!

Persoalannya, apakah orang Melayu selama hari ini, pernah mempertikaikan apa saja yang dilakukan oleh pertubuhan politik,NGO untuk membangunkan kaum mereka di negara ini?
Adakah orang-orang Melayu pernah menghalang sebarang usaha kaum bukan Melayu untuk berjaya dalam perniagaan, sehingga ke hari ini boleh dilihat, bahawa kebanyakkan perniagaan utama di negara ini telah dimonopoli oleh kaum bukan Melayu.

Jika benar UMNO rasis, maka tidak akan ada kaum bukan Melayu yang tinggal di negara ini, kerana pastinya Pemerintah Melayu akan mengambil langkah menghalau bangsa bukan Melayu seperti mana yang dilakukan oleh beberapa buah negara setelah mendapat pengiktirafan sebagai sebuah negara yang merdeka, seperti Burma dan Ceylon.

Di sini petikan kenyataan presiden Presiden MCA, Tun Tan Siew Sin dalam suratkhabar tempatan pada tahun1969 :

Orang Melayu menerusi UMNO bermurah hati melonggarkan syarat-syarat dalam undang-undang negara ini sehinggakan dalam masa 12 bulan selepas kemerdekaan, 90 peratus penduduk bukan Melayu telah menjadi warganegara. Ini berbeza dengan keadaan sebelum merdeka di mana 90 peratus daripada mereka masih tidak diiktiraf sebagai rakyat Tanah Melayu walaupun hampir 100 tahun hidup di bawah pemerintahan penjajah.

Sebagai membalas kemurahan hati orang Melayu, MCA dan MIC bersetuju meneruskan dasar memelihara dan menghormati kedudukan istimewa orang Melayu dan dalam masa yang sama mempertahankan kepentingan-kepentingan sah kaum lain.

Sumber Tan Sri Khalid Awang Osman, Malaysia - An Anthology, Vantage Press, New York, hal. 38-39. UCAPAN PRESIDEN MIC merangkapMENTERI KERJAYA RAYA, POS DAN TELEKOM, TUN V.T. SAMBANTHAN DI DEWAN RAKYAT PADA 1 JUN 1965.

Manakala ini pula ucapan Tun Sambathan di Dewan Rakyat pada tahun 1965 :

Pada tahun 1955 kita telah memenangi pilihan raya dengan majoriti yang tinggi, selanjutnya mendapat kemerdekaan dalam masa dua tahun kemudian.Dalam jangka masa itu kita terpaksa berbincang dan menangani pelbagai perkara termasuk soal kewarganegaraan.

Persoalannya di sini, apakah yang dilakukan oleh Orang Melayu memandangkan kita bercakap menyentuh perkauman?

Apakah yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin Melayu?Mereka mempunyai 88 peratus daripada pengundi menyokong mereka. Apakah yang mereka putuskan mengenai isu kewarganegaraan?


Jika kita lihat di serata negara Asia dan asia Timur, kita akan mendapati kaum India tidak akan diterima di Ceylon dan juga tidak diterima di Burma. Dan lihat saudara kita kaum Cina, mereka tidak diterima di Thailand , Vietnam , Kemboja dan di negara-negara lain.

Dan apakah bantuan berhubung kewarganegaraan yang mereka perolehi di semua wilayah tersebut? Di Burma, seperti yang kita semua sedia maklum, kaum India telah diusir keluar, di Ceylon mereka tidak diberikan taraf warganegara seperti juga di Burma. Saya tahu dan anda juga tahu.

Dan dalam pada itu apa yang sedang berlaku di Malaya ?Di sini kita mendapati pemimpin Melayu berkata, "Kita akan menerima mereka sebagai saudara, kita akan berikan mereka sepenuh peluang untuk meneruskan kehidupan di negara ini, kita akan beri mereka peluang untuk menjadi warganegara.

"Dan seterusnya pada tahun 1957, dengan tidak mengambil kira kebolehan berbahasa (Melayu) ribuan orang India , Cina dan Ceylon menjadi warganegara. Seperti yang saya nyatakan, saya amat bernasib baik kerana dilahirkan di negara ini.

Di manakah anda boleh berjumpa bangsa yang lebih prihatin, bersopan-santun dan tertib selain dari Bangsa Melayu. Di manakah anda boleh mendapat layanan politik yang baik untuk kaum pendatang?Di manakah dalam sejarah dunia?

Saya bertanya kepada anda. Ini adalah fakta. Siapakah anda untuk menjaga keselamatan kami? Saya adalah kalangan 10 peratus kaum minoriti di sini. Tetapi saya amat gembira di sini."

Jadi, orang-orang Melayu, terutama bukan Melayu tidak usah terpengaruh, dan menjadi emosi kerana desakan sebahagian dari golongan yang tidak kenal erti sejarah, dan tidak mengenang budi.

Orang Melayu pula, terutama yang bergerak di dalam UMNO perlu mempertahankan hakikat, bahawa UMNO dan orang Melayu tidak rasis, tetapi sebenarnya golongan yang cuba mengungkit soal Ketuanan Melayu dan Hak-hak Istimewa orang Melayu itulah yang mengamalkan sikap rasis.

Jika benar golongan yang mendesak agar hak-hak orang Melayu ini dihapuskan, maka untuk pengetahuan mereka, orang-orang Melayu telah lama pun berkorban satu demi satu hak yang ada pada mereka semata-mata untuk menjaga hati kaum bukan Melayu. Bukannya kerana orang Melayu itu penakut ataupun bacul!

UMNO dan orang-orang Melayu telah lama bersikap terbuka dalam hal ini sehinggakan sanggup berkongsi kuasa, dan membiarkan sahaja kaum bukan Melayu menguasai ekonomi, baik di bandar mahupun di kampung-kampung.

Jadi, apa lagi yang dimahukan oleh golongan ini. Mereka yang bercakap meminta agar hak-hak orang Melayu dihapuskan, dan juga mempersoalkan Ketuanan Melayu, hari ini masih lagi hidup dalam keadaan aman, sihat dan mewah.

Apakah orang akan mempercayai kata-kata mereka ini, bahawa konsep Ketuanan Melayu, dan hak-hak istimewa orang Melayu di negara ini adalah tidak adil dan menindas kaum bukan Melayu, sedangkan mereka yang bercakap itu lebih mewah dari orang Melayu sendiri?

Justeru, segala-galanya yang diluahkan, yang dilontarkan, serta sikap mempertikaikan hak-hak orang Melayu, dan juga Ketuanan Melayu, hanyalah untuk satu perkara, iaitu KUASA. Kuasa untuk memerintah tanah Melayulah yang menjadi matlamat utama golongan ini, dan bukanlah isu-isu ketuanan Melayu, atau hak-hak orang Melayu.

Sebenarnya, isu-isu tersebut hanyalah sebagai salah satu alat untuk mencapai matlamat mereka, kerana jika golongan ini benar-benar mahukan perpaduan, pastinya mereka akan menerima cadangan untuk bersatukan dalam satu sistem pendidikan yang menjadi teras kepada pembangunan negara, dibawah satu semangat kebangsaan, satu bahasa dan juga satu matlamat.

Hafiz Hamzah
Pengerusi Gagasan Pemuda Ehsan

p/s : UMNO dan Orang Melayu, masih tidak sedar akan hakikat dan perancangan sebenarnya...sedangkan orang Melayu sendiri asyik berbalah tanpa tujuan. Ingatlah pepatah Melayu, jangan sudah terantuk, baru mahu terngadah, menyesal dulu pendapatan, menyesal kemudian, tak ada gunanya.

2 comments:

Tanpa Nama berkata...

Setuju dengan cadangan Dato. Kalau betul-betul mahukan perpaduan, hapuskan sekolah-sekolah jenis kebangsaan. belajar dalam satu sekolah, satu bahasa dan satu semangat. Amacam geng?

Tanpa Nama berkata...

Balun jangan tak balun. Dah bagi minta lebih2 lak...